KUANTAN – Seramai 120 orang asli di daerah Rompin menjadi kumpulan pertama di Pahang menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sejak awal bulan ini.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, mereka adalah masyarakat setempat termasuk mereka yang bertugas sebagai pasukan barisan hadapan dalam membantu pihaknya melaksanakan pelbagai program membabitkan orang asli.
Menurutnya, di Pahang sebanyak 90 peratus daripada 54,000 orang asli yang layak telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama dan kedua.
“Mereka ini masih belum mencapai tempoh untuk menerima dos penggalak antara tiga hingga enam bulan selepas melengkapkan vaksinasi.
“Jadi, pihak kita akan terus berusaha membantu masyarakat orang asli di negeri ini mendapatkan dos penggalak yang diberikan secara berperingkat.
“Setakat ini, terdapat hanya kira-kira 2,000 individu yang masih belum menerima suntikan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pada Sabtu, program pemberian dos penggalak telah dilakukan kepada masyarakat orang asli di Pejabat Jakoa Muadzam Shah dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim dan Pengerusi Jakoa Pahang Volunteer Team (JPVT), Zahar Tan.
Johari berkata, program pemberian dos penggalak itu menjadi perintis kepada pemberian dos penggalak kepada masyarakat orang asli di Pahang.
Jelasnya, program sama akan diadakan di beberapa daerah lain dan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diadakan bagi mengadakan program pemberian dos penggalak secara berkumpulan di kawasan penempatan mereka.
“Saya sedang berusaha untuk memastikan semua orang asli berumur 12 tahun ke atas menerima vaksin Covid-19 dan dos penggalak. Kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut akan dilakukan.
“JPVT kini terbabit dalam membantu melancarkan lagi setiap program yang dianjurkan Jakoa Pahang,” katanya.