KUALA LUMPUR – Strategi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui pentas Dewan Rakyat sekali lagi menemui kegagalan hari ini.
Ia selepas bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan melalui undi belah bahagian.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengumumkan keputusan itu memaklumkan kepada Dewan bahawa sebanyak 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju, manakala seorang lagi tidak hadir.
“Maka Rang Undang-undang ini disetujukan untuk dibaca kali ketiga dan diluluskan sekarang,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Meskipun hanya berkelebihan tiga undi, namun PN kini boleh menarik nafas lega apabila usaha berterusan pembangkang untuk menolak belanjawan itu tidak berhasil.
Semalam, PN sekali lagi dilihat goyah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah membuat pengumuman terbuka bahawa mereka sepakat untuk bekerjasama membantu menerajui kerajaan baharu.
Ia berikutan kedua-dua tokoh politik yang dianggap sebagai seteru sebelum ini mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin akan tumbang akibat kegagalan mendapat undi majoriti di Dewan Rakyat hari ini.
Malah, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu juga mengumumkan untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, blok pembangkang meminta supaya bacaan kali ketiga RUU itu dibuat melalui undi belah bahagian.
Bacaan kali ketiga RUU ini dilihat menjadi medan terakhir pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan dua kali terlepas peluang sebelum ini.
Pembangkang pada 24 November lalu gagal mengotakan ikrar mereka untuk menjatuhkan PN apabila Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen tanpa melalui undi belah bahagian.
Nasib sama juga dilalui pembangkang apabila RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi semua 27 kementerian turut diluluskan.
Secara keseluruhan, sebanyak 18 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti, manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagian.
ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021 lulus di Dewan Rakyat