Terdapat seramai 57,635 orang peladang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar di dalam pentadbiran 27 PPK MADA. – Foto MADA
ALOR SETAR – Sumbangan tunai RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim dengan peruntukkan RM228 juta kepada 240,000 ribu pesawah di seluruh negara mampu meringankan beban golongan tersebut.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tunai yang diberikan termasuk pesawah di Kawasan Muda pada Pembentangan Belanjawan Madani 2023 menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor pertanian.
Menurutnya, kerajaan menyelami gerak nadi petani dengan usaha langkah memberi bantuan supaya dapat meringankan beban pesawah sementara menunggu hasil tuaian mereka.
“Bantuan ini membuktikan kepedulian Kerajaan Perpaduan dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik serta negara lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan sekaligus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah MADA, selaras dengan agenda keterjaminan makanan, kerajaan juga telah bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras seperti harga padi, baja padi dan padi huma berjumlah RM1.6 bilion.
Menurutnya, selain daripada sumbangan RM 60 juta ringgit yang disediakan, pesawah juga akan turut menikmati perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras oleh Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).
“Adalah menjadi harapan MADA agar dapat bersama-sama kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mendepani cabaran-cabaran sektor agromakanan untuk terus memacu permodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan.
“Untuk makluman, di Kawasan Muda terdapat seramai 57,635 orang peladang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar di dalam pentadbiran 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA,” ujarnya lagi.