Home bajet2022 Bajet 2023 bukti IPT kekal sebagai pelaburan terbaik

Bajet 2023 bukti IPT kekal sebagai pelaburan terbaik

0
Bajet 2023 bukti IPT kekal sebagai pelaburan terbaik
Noraini Ahmad – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Penyaluran peruntukan sebanyak RM15.1 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Bajet 2023 membuktikan keprihatinan kerajaan untuk mengekalkan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pelaburan terbaik bagi membina masa depan pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 4.25 peratus berbanding RM14.5 bilion tahun lepas.

“Alhamdulillah, demi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia dapat meneruskan pengajian hingga ke menara gading dengan baik, KPT telah menerima dana terbesar menerusi Bajet 2023,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, pembentangan Bajet 2023 bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ menyaksikan kerajaan memperuntuk RM11.7 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM3.4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan kepada KPT.

Noraini berkata, dengan peruntukan itu, pihaknya akan memfokus kepada bantuan tunai, penyelesaian pinjaman pendidikan dan pembangunan termasuk menaik taraf jaringan digital serta fasiliti di IPT.

Beliau berkata, peruntukan itu juga akan dimanfaat bagi meningkatkan pembudayaan Inisiatif Kampus Hijau di universiti awam serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menyentuh Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Noraini berkata, peruntukan sebanyak RM6.7 bilion dilihat dapat membantu KPT mencapai sasaran sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia melanjutkan pengajian menjelang 2025.

Katanya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap aspek kebolehpasaran graduan menerusi Dana Inovasi Global dengan peruntukan sebanyak RM30 juta manakala RM20 juta bagi Program Usahawan Siswazah yang akan dimanfaat oleh kira-kira 1,000 graduan yang menceburi bidang keusahawanan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here