Home bajet2022 Bajet 2022: Kerajaan sedia pekerjaan menerusi MYSTEP

Bajet 2022: Kerajaan sedia pekerjaan menerusi MYSTEP

0
Bajet 2022: Kerajaan sedia pekerjaan menerusi MYSTEP

KUALA LUMPUR – Komitmen kerajaan dalam penyediaan pekerjaan menerusi Bajet 2022 dapat dilihat menerusi pelbagai langkah termasuk program Jamin Kerja dan Program Pekerjaan Jangka Pendek (MYSTEP).

“’Inisiatif ini pastinya akan memberi impak positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja sektor tidak formal,” kata Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Perlindungan sosial juga telah diberi tumpuan dengan peluasan liputan kepada pekerja sektor tidak formal dan suri rumah serta lanjutan Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), katanya dalam kenyataan reaksinya susulan pembentangan Bajet 2022 pada petang Jumaat.

Nor Mohamed menambah selain itu, sokongan kewangan kerajaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah RM14.2 bilion melalui pelbagai skim pembiayaan dan sokongan perniagaan juga akan menjadi kunci pemulihan ekonomi.

Beliau turut memuji bantuan sosial berterusan untuk orang kurang upaya, warga tua, kanak-kanak serta golongan miskin di bawah program Bantuan Keluarga Malaysia dengan peruntukan RM8.2 bilion dan pelbagai bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM2.4 bilion) yang menunjukkan keprihatinan kerajaan.

Di samping itu, empat inisiatif baharu untuk program keselamatan makanan berjumlah RM120 juta adalah tepat pada masanya, memandangkan makanan merupakan aspek penting kesihatan rakyat, kata Nor Mohamed.

“KRI juga mengalu-alukan pengenalan Cukai Makmur sebagai langkah sementara untuk meningkatkan hasil kerajaan sehingga suatu langkah yang lebih mampan dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” tambahnya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here