
SHAH ALAM – Sebuah pasukan elit khas antirasuah dicadangkan ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap kes melibatkan tokoh berprofil tinggi, ahli politik dan pegawai tertinggi kerajaan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, pasukan khas itu perlu dilengkapi penyiasat paling berpengalaman serta dihormati, diberikan kuasa operasi penuh dengan perlindungan undang-undang, selain diletakkan di bawah pengawasan terus Parlimen dan bukannya hanya eksekutif.
Katanya, cadangan itu dibuat bagi memastikan siasatan kes ‘super’ orang kenamaan (VVIP) dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan telus, sekali gus memperkukuh imej SPRM.
“Rasuah berprofil tinggi adalah ancaman serius kepada kelangsungan negara bangsa dan Malaysia tidak boleh membiarkan isu itu berulang.
“Jika SPRM benar-benar ingin digeruni, mereka perlu berani menegakkan prinsip tiada sesiapa yang kebal di sisi undang-undang dengan sokongan pasukan elit khas yang bebas dan berintegriti tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan SPRM memperlihatkan ketegasan dalam usaha memerangi rasuah apabila beberapa individu berprofil tinggi, tokoh korporat, dan pegawai kanan kerajaan terlibat kes seperti skandal projek Lebuhraya MEX II, Ops Sky, Ops Sohor dan sebagainya dibawa ke muka pengadilan.
Menurut Nor Halmey lagi, rasuah berprofil tinggi bukan sahaja menyebabkan ketirisan berbilion ringgit, malah turut meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Dari segi ekonomi, kes sebegini memberi kesan berganda kerana ia menggugat integriti institusi awam, menjejaskan pelaburan asing akibat persepsi risiko tadbir urus lemah serta mencetuskan defisit kepercayaan awam sehingga mampu merosakkan legitimasi politik dan sosial,” ujarnya.
Sehubungan itu, Nor Halmey berpandangan, langkah membanteras rasuah perlu bersifat holistik dan berlapis termasuk pengukuhan undang-undang serta penguatkuasaan dengan hukuman lebih berat terhadap kes berprofil tinggi.
“Pendidikan integriti sejak awal juga perlu diberi penekanan melalui penerapan nilai antirasuah di sekolah, institusi pengajian tinggi serta latihan penjawat awam,” menurutnya.
Tambahnya, ketelusan tadbir urus turut ditekankan melalui pendedahan harta dan aset oleh penjawat awam kanan serta ahli politik, manakala perlindungan kepada pemberi maklumat juga perlu diperkasakan supaya rakyat berani melaporkan tanpa rasa takut ditekan.
Beliau turut menyifatkan tindakan SPRM membuka siasatan terhadap beberapa kes besar membuktikan adanya keberanian dan keseriusan.
Oleh demikian, tegas Nor Halmey, SPRM perlu dilihat bukan sahaja bebas tetapi juga berwibawa tanpa campur tangan politik bagi memastikan keberkesanannya.