SHAH ALAM – Setiap penjawat awam perlu dipupuk dengan nilai integriti, amanah serta etika kerja yang tinggi sejak awal perkhidmatan.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, program latihan berterusan mengenai integriti dan kesedaran antirasuah dapat membentuk sikap yang menolak sebarang bentuk salah guna kuasa.
“Latihan etika dan integriti wajib diadakan secara berkala bagi semua pegawai bukan hanya sebagai formaliti tetapi satu bentuk pembentukan karakter serta tanggungjawab moral terhadap jawatan yang disandang.
“Ia salah satu langkah bertepatan dalam usaha membanteras rasuah serta menambah baik tadbir urus dalam sesebuah organisasi. Rasuah dalam kalangan penjawat awam bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran, malah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, penjawat awam didapati kumpulan terbesar yang terlibat dalam kes menerima rasuah iaitu seramai 2,965 orang yang telah ditahan antara 2015 hingga 30 Jun tahun ini berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dapatan itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi satu jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini.
Azalina berkata, sebanyak 47 kes tangkapan dalam konteks memberi rasuah pula direkodkan melibatkan kategori penjawat awam dalam tempoh sama.
Tambah Hamdan Danial, antara langkah lain yang dibuat majikan dengan mewujudkan saluran aduan yang mudah diakses dan dilindungi bagi kakitangan yang ingin melaporkan salah laku rakan sekerja tanpa rasa takut dikenakan tindakan.
Pembetulan awal iaitu mengenal pasti kecenderungan rasuah dalam kalangan pegawai muda, khususnya yang terlibat dalam bahagian teknikal, kewangan, perolehan dan penguatkuasaan juga boleh dilaksanakan.
“Selain itu, setiap jabatan juga perlu mempunyai unit pemantauan dalaman yang berkesan. Audit mengejut, pemeriksaan berkala serta pemasangan CCTV atau kamera badan di kawasan berisiko tinggi boleh menghalang salah laku daripada berlaku.
“Setiap individu yang memegang amanah perlu meletakkan integriti pada tahap tinggi kerana tersilap langkah akan membawa padah kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Jangan kerana gelap mata melihat wang, segalanya akan membawa padah yang sangat besar,” katanya.