Home Rasuah Busters Rasuah pintu sempadan ancam keselamatan negara

Rasuah pintu sempadan ancam keselamatan negara

0
Rasuah pintu sempadan ancam keselamatan negara
Keluar masuk individu tanpa melalui proses saringan sah membuka ruang kepada aktiviti jenayah rentas sempadan.

SHAH ALAM – Isu rasuah yang membabitkan keluar masuk warga asing di pintu masuk negara bukan perkara baharu, malah seolah-olah menjadi norma dalam kalangan segelintir anggota penguat kuasa yang tidak berintegriti.

Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, amaran tegas dan keras oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada anggota Jabatan Imigresen Malaysia yang tular baru-baru ini membuktikan gejala tersebut benar-benar wujud dan berulang tanpa penghujung.

Menurutnya, amalan keji itu bukan sahaja jenayah rasuah, malah merupakan pengkhianatan terhadap amanah negara dan ancaman terus kepada keselamatan nasional serta kedaulatan Malaysia.

“Keluar masuk individu tanpa melalui proses saringan sah membuka ruang kepada aktiviti jenayah rentas sempadan, keganasan, penyeludupan manusia dan dadah, selain menjejaskan kestabilan sosioekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kegiatan itu merosakkan integriti institusi keselamatan di pintu masuk dan sempadan serta mencabuli undang-undang negara.

Justeru, Bibi Sunita menegaskan perlunya usaha bersepadu membasmi masalah ini dari akar umbi bagi menjamin keselamatan dan kemakmuran rakyat.

Mengulas langkah pencegahan, beliau mencadangkan penggunaan sistem pengawasan berteknologi tinggi di semua pintu masuk utama dan laluan haram, termasuk pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup pintar berasaskan kecerdasan buatan pengimbas biometrik dan sistem pengecaman plat kenderaan automatik.

Selain itu, katanya, pegawai dan anggota agensi yang bertugas di pintu masuk perlu dipindahkan secara berkala bagi mengelakkan hubungan terlalu lama dengan pihak tertentu yang boleh membuka ruang rasuah.

“Pendekatan Datuk Seri Shuhaily menjalankan operasi secara mengejut dan pemeriksaan integriti termasuk pengisytiharan harta wajar dipuji. Audit kewangan dan operasi mengejut di lapangan perlu dilakukan sekerap mungkin,” ujarnya.

Beliau turut mengesyorkan supaya saluran aduan yang mudah, selamat dan rahsia diwujudkan dengan perlindungan undang-undang kukuh kepada pelapor agar mereka berani tampil memberi maklumat.

Di samping itu, katanya, kerajaan perlu menilai semula gaji dan insentif kakitangan barisan hadapan bagi mengurangkan godaan rasuah.

Bibi Sunita juga berpandangan hukuman lebih berat perlu dikenakan, termasuk hukuman penjara mandatori maksimum bagi kes rasuah melibatkan keselamatan pintu keluar masuk dan sempadan, khususnya jika berkaitan penyeludupan manusia atau dadah.

“Segala aset hasil rasuah perlu disita manakala kes yang berkaitan mesti disiasat dengan pantas dan dibawa ke mahkamah khusus untuk mempercepat proses keadilan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar operasi bersepadu antara agensi berkaitan seperti Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipertingkatkan di kawasan panas berisiko tinggi.

“Isu rasuah membenarkan kemasukan atau keluarnya warga asing tanpa dokumen sah adalah darurat keselamatan negara. Ia memerlukan komitmen politik tertinggi, tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi, pelaburan teknologi, sumber manusia dan kerjasama semua pihak untuk memulihkan kedaulatan sempadan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here