SHAH ALAM – Budaya berani melapor harus dijadikan asas utama yang diperkasa secara berterusan bagi memastikan agenda membanteras rasuah mencapai keberkesanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, keberanian itu hanya dapat disuburkan sekiranya wujud sistem perundangan yang kukuh dan menyeluruh bagi melindungi identiti serta keselamatan para pelapor.
Menurutnya, jaminan perlindungan tersebut penting agar mereka tidak berasa bimbang, gentar atau terancam sewaktu melaksanakan tanggungjawab demi integriti negara.
“Walaupun ganjaran besar ditawarkan, belum tentu laporan dibuat jika pelapor tidak merasa dilindungi. Justeru, kesedaran harus menjadi agenda utama dan insentif tidak semestinya berbentuk kewangan.
“Ia boleh juga dalam bentuk bukan tunai dan sosial, di samping memperkukuh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang kini telah diluluskan di Dewan Rakyat.
“Perlindungan ini bukan sekadar undang-undang, tetapi juga meliputi aspek psikososial dan kefahaman masyarakat terhadap aspirasi kerajaan dalam melaksanakan Strategi Antirasuah Kebangsaan serta peranan Ombudsman Malaysia yang mampu membuka ruang pelaporan awam yang lebih bebas dan terbuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk memberikan ganjaran kepada kakitangan awam yang memberikan maklumat salah laku dalam jabatan mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata, aspek kewangan merupakan antara dorongan utama manusia, justeru insentif seperti ganjaran tunai boleh menjadi pemangkin keberanian kepada penjawat awam untuk tampil melapor salah laku.
Tambah Nurhayati, negara ini sebenarnya telah pun memperkenalkan sistem ganjaran sejak sekitar tahun 2011 bagi menggalakkan masyarakat atau kakitangan kerajaan tampil melaporkan sebarang salah laku, pemberian mahupun perlakuan rasuah yang mereka saksikan.
Ujarnya, tidak dinafikan insentif seperti hadiah tunai sememangnya mampu menjadi antara bentuk motivasi yang berkesan dalam mendorong keberanian untuk melapor.
“Namun begitu, bagi Rasuah Busters, kita perlu melihat pengiktirafan bukan kewangan juga mampu menjadi bentuk ganjaran sosial atau pengiktirafan sosial yang tidak semestinya datang dalam bentuk kewangan.
“Dalam erti kata lain, untuk menggalakkan orang ramai membuat laporan dan menjadi sebahagian daripada ejen perubahan atau ‘tentera-tentera’ yang menyelamatkan negara daripada rasuah, ia boleh datang daripada sistem sosial atau insentif moral yang distrategikan secara sistematik.
“Contohnya seperti sijil pengiktirafan, peluang kenaikan pangkat dan kerjaya atau anugerah tertentu yang boleh menjadi galakan dan motivasi kepada mereka yang sanggup melapor apabila arahan dan kefahaman yang diterima adalah jelas,” katanya.
Ujar beliau, pelaporan yang dibuat oleh orang awam ataupun kakitangan kerajaan terhadap salah laku atau perbuatan rasuah itu memerlukan arahan yang nyata dan jelas.
Jelasnya, mungkin kesan ganjaran kewangan berbeza dengan impak insentif sosial tetapi ia tetap signifikan kerana beberapa kajian menunjukkan ramai pihak akan melaporkan jika mereka sedar dan faham tanggungjawab terhadap negara, agama dan organisasi.
“Oleh itu, penting untuk galakkan orang ramai berani melapor sekalipun tanpa sebarang ganjaran kewangan.
“Lebih daripada itu, insentif moral tersebut adalah dorongan untuk memupuk kebertanggungjawaban awam yang dilaksanakan secara kolektif. Usaha kolaboratif dapat membentuk naratif yang positif dalam usaha memerangi salah laku dan rasuah.
“Justeru, saya percaya penghargaan sebagai motivasi tidak sahaja daripada sudut kewangan, tetapi penghargaan sosial akan memberikan impak budaya bersih rasuah kepada seluruh masyarakat.
“Apabila masyarakat melihat ada manfaat kepada tindakan moral mereka, maka kesan daripada tindakan mereka menjadi lebih bermakna. Ini boleh dicapai dengan sokongan komuniti, naratif yang betul dan pengiktirafan sosial yang akan meningkatkan kadar pelaporan, sekali gus menyelamatkan sistem daripada kerosakan akibat salah laku dan rasuah,” katanya.