Home Rasuah Busters Pemimpin terpalit isu integriti wajar undur – PPN

Pemimpin terpalit isu integriti wajar undur – PPN

0
Pemimpin terpalit isu integriti wajar undur – PPN
Presiden PPN gesa pemimpin yang terpalit isu integriti berundur. (Gambar kecil: Abdul Hakim)

SHAH ALAM – Seorang pemimpin wajar berundur dan melepaskan jawatan yang dipegang apabila terpalit isu integriti atau menjadi beban kepada organisasi yang dipimpinnya.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, segala keputusan serta tindakan tidak lagi dihormati sekiranya kepercayaan yang menjadi asas utama kepimpinan semakin terhakis.

“Dalam era ketelusan dan kepekaan rakyat yang semakin tinggi, pemimpin tidak lagi dinilai melalui pangkat atau retorik, tetapi menerusi integriti serta keupayaan sebenar untuk membawa perubahan.

“Apabila seorang pemimpin enggan berubah dan terus berpegang kepada cara lama yang tidak lagi relevan, mereka bukan sahaja menyekat kemajuan, malah melemahkan daya tahan institusi itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mencabar golongan belia supaya tidak sesekali membenarkan pemimpin yang terpalit dengan rasuah diberi peluang untuk memimpin negara.

Beliau berkata, anak muda hari ini mempunyai semangat, ilmu dan daya juang yang tinggi serta mampu menilai kepimpinan berdasarkan integriti dan kejujuran.

Dalam pada itu, Abdul Hakim Hafizi berpandangan bahawa pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2024–2028 masih memerlukan komitmen politik yang konsisten, keberanian institusi melaksanakan tindakan tanpa pilih kasih, serta penyertaan aktif masyarakat.

Walaupun dasar dan kerangka strategi digubal secara menyeluruh, beliau menegaskan bahawa cabaran utama terletak pada pelaksanaan yang berkesan, pemantauan telus serta kesungguhan untuk menghukum pelaku rasuah tanpa kompromi.

Abdul Hakim turut menegaskan bahawa masyarakat tidak lagi boleh berkompromi dengan kepimpinan yang lemah kerana ketelusan dan integriti merupakan keperluan asas dalam membina negara yang progresif.

“Ketelusan dalam proses perolehan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan perlu diperbaiki ekoran penguatkuasaan yang tidak konsisten serta kurangnya penyertaan rakyat.

“Usaha memperkukuh ketelusan hanya akan berjaya jika kerajaan bersedia melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here