Home Rasuah Busters Rasuah gugat kepercayaan rakyat, PDRM perlu bertindak tegas – Ikram

Rasuah gugat kepercayaan rakyat, PDRM perlu bertindak tegas – Ikram

0
Rasuah gugat kepercayaan rakyat, PDRM perlu bertindak tegas – Ikram
Laporan Sinar Harian mengenai dua lagi anggota polis direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang berjumlah kira-kira RM635,000. Gambar kecil: Zainal Adnan

SHAH ALAM – Jumlah suapan yang besar dalam kes rasuah melibatkan anggota penguat kuasa baru-baru ini menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan kawalan dalaman dan integriti institusi keselamatan negara.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, pendedahan kes tersebut menggugat keyakinan awam terhadap pihak berkuasa.

“Apatah lagi mereka yang diamanahkan untuk melindungi masyarakat didakwa menjadi sebahagian daripada sistem yang melindungi kegiatan jenayah.

“Kes seperti ini memberi kesan langsung kepada kepercayaan rakyat. Ia juga akan menjejaskan integriti institusi dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, dua lagi anggota polis direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang berjumlah kira-kira RM635,000.

Perintah reman sehingga 5 Ogos itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Chai Ing Hien, selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada pagi Khamis.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor pada Rabu.

Difahamkan, mereka disyaki meminta dan menerima wang tersebut daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan perjudian.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa proses pendakwaan dan hukuman terhadap mereka yang terlibat perlu dilaksanakan secara telus dan tanpa kompromi bagi memberi mesej jelas bahawa rasuah tidak akan dibiarkan berleluasa.

Zainal Adnan turut menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh sistem pemantauan dalaman melalui langkah pantas dan menyeluruh.

“Ia termasuk tindakan tatatertib serta pelaksanaan reformasi jangka panjang seperti audit kewangan, tadbir urus ketat dan pendidikan etika berterusan.

“PDRM perlu proaktif menjaga integritinya tanpa menunggu campur tangan luar seperti SPRM.

“Tindakan segera dan tegas dari dalam akan membantu memulihkan imej dan kepercayaan rakyat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan semua agensi penguat kuasa supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menegakkan prinsip integriti.

“Ini kerana rasuah adalah musuh negara yang boleh melemahkan institusi, menghalang pembangunan dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap undang-undang,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here