KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempertingkatkan keupayaan operasi termasuk siasatan forensik dan pemulihan aset sebagai langkah memperkukuh usaha membanteras rasuah susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penekanan terhadap tadbir urus, integriti dan akauntabiliti dalam RMK13 adalah sejajar dengan komitmen agensi itu untuk menangani rasuah serta salah guna kuasa secara lebih menyeluruh.
“SPRM akan terus memperhebat usaha memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa dengan meningkatkan kapasiti operasi, siasatan forensik, pemulihan aset serta usaha pencegahan.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada pendidikan integriti dalam kalangan masyarakat bagi membudayakan nilai integriti secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, matlamat utama adalah untuk melahirkan rakyat yang bermaruah dan berdaya tahan dalam menolak rasuah.
“SPRM memahami harapan rakyat dan akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin demi menjadikan Malaysia bebas rasuah serta memperkukuh ekonomi negara.
“SPRM akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan sosioekonomi negara berjalan secara mampan dan memberi manfaat yang adil kepada semua,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa langkah menambah baik tadbir urus dan memperkukuh integriti menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyumbang secara langsung kepada pencapaian aspirasi Kerajaan Madani untuk meletakkan Malaysia di tangga 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi pada Khamis, penekanan terhadap integriti dan akauntabiliti, penambahbaikan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, serta pemantapan pengurusan fiskal turut menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 12 negara teratas dalam IMD World Competitiveness Yearbook.
Selain itu, langkah penambahbaikan tadbir urus dijangka membantu mengurangkan defisit fiskal kepada di bawah tiga peratus dan memastikan paras hutang negara tidak melebihi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Antara usaha penambahbaikan tersebut ialah pelaksanaan inisiatif di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2028, serta penggiatan Pasukan Petugas Khas CPI untuk menangani isu rasuah dan meningkatkan kedudukan negara dalam CPI.