Home Rasuah Busters Malaysia terus bergelut perangi rasuah, usaha digerakkan belum capai kesan signifikan

Malaysia terus bergelut perangi rasuah, usaha digerakkan belum capai kesan signifikan

0
Malaysia terus bergelut perangi rasuah, usaha digerakkan belum capai kesan signifikan
Statistik tangkapan SPRM sepanjang 2024 menunjukkan sektor awam masih menjadi penyumbang utama kepada kes rasuah.

SHAH ALAM – Usaha membanteras rasuah masih belum mencapai kesan signifikan meskipun pelbagai inisiatif dan reformasi institusi telah digerakkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pegawai Kanan Yayasan Wilayah Persekutuan yang juga merupakan Pegawai Integriti Bertauliah Akedemi Pencegahan Rasuah Malaysia (CeIO), Zaidi Yusof berkata, Malaysia terus bergelut dengan cabaran memerangi rasuah apabila skor negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 kekal pada kedudukan 50 daripada 100, sama seperti tahun sebelumnya.

“Berdasarkan laporan oleh Transparency International Malaysia, kedudukan Malaysia juga tidak berubah berada di ranking ke-57 daripada 180 negara.

“Skor yang tidak menunjukkan peningkatan ini memberi gambaran usaha membanteras rasuah masih belum mencapai kesan signifikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Zaidi, lebih membimbangkan apabila statistik tangkapan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tahun 2024 menunjukkan sektor awam masih menjadi penyumbang utama kepada kes rasuah.

Ujarnya, laporan menunjukkan bahawa antara 52 hingga 78 peratus daripada tangkapan bulanan SPRM melibatkan pegawai sektor awam, manakala sektor swasta pula menyumbang antara 22 hingga 48 peratus.

“Perangkaan ini secara jelas menunjukkan bahawa isu integriti bukan lagi masalah dalam satu sektor tertentu sahaja, tetapi telah menjadi cabaran nasional yang menuntut kerjasama dan kesedaran bersama semua pihak.

“Dalam konteks ini, budaya integriti tidak seharusnya disandarkan kepada undang-undang semata-mata. Ketegasan dalam penguatkuasaan adalah penting, namun pencegahan melalui pendidikan nilai dan pembentukan karakter dari peringkat awal lebih mendasar dan berkekalan.

“Guru bukan sekadar penyampai ilmu akademik, tetapi juga agen pembentukan jati diri generasi masa depan. Mereka memainkan peranan penting dalam menyemai nilai-nilai kejujuran, amanah, dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Malah, proses ini perlu dimulakan lebih awal di rumah,” katanya.

Jelasnya, ketika Malaysia berusaha memperbaiki kedudukan dalam CPI dan memulihkan kepercayaan awam terhadap institusi, transformasi sebenar hanya akan berlaku apabila integriti menjadi budaya hidup, bukan sekadar slogan dalam kempen antirasuah.

“Ia perlu ditanam dalam hati nurani rakyat dan diterjemahkan melalui tindakan seharian di sekolah, rumah, pejabat dan jalan raya. Rasuah bukan hanya soal undang-undang. Ia soal nilai dan nilai itu mesti hidup dalam jiwa setiap rakyat Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here