SHAH ALAM – Golongan muda digesa bangkit sebagai generasi yang menolak rasuah dengan tidak mudah tunduk kepada normalisasi penipuan dan salah guna kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, generasi muda mesti memilih jalan yang benar dan bermaruah walaupun berdepan cabaran.
Menurutnya, generasi tersebut tidak boleh hanya menunggu sistem berubah, sebaliknya mesti menjadi golongan yang memimpin perubahan itu.
“Golongan muda mesti berani menyatakan pendirian dan menolak sebarang bentuk penyelewengan.
“Kita tidak cukup sekadar tahu bahawa rasuah itu salah. Kita mesti berani menolak, melawan dan menyatakan pendirian,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menambah, MASA percaya bahawa integriti ialah benih yang mesti disemai sejak muda dan dapat dilahirkan melalui pendidikan nilai, latihan kepimpinan yang amanah serta ruang untuk anak muda menyuarakan idealisme mereka dengan yakin dan berani.
Justeru, katanya, nilai integriti dan amanah perlu dipupuk sejak dari usia muda bagi melahirkan generasi yang mampu menolak rasuah dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan mereka.
Bahkan, tegas beliau, nilai tersebut perlu dimulakan lebih awal agar dapat menjadi sebahagian daripada pembentukan karakter pelajar.
“Latihan kepimpinan yang dijalankan di peringkat sekolah seperti pelantikan pengawas merupakan antara ruang awal bagi mendidik pelajar mengenai nilai-nilai tersebut.
“Ketika itulah mereka perlu belajar dan didedahkan secara langsung atau tidak langsung dengan elemen-elemen yang membentuk peribadi pemimpin berintegriti,” ujarnya.