SHAH ALAM – Rasuah dalam urusan perolehan melibatkan proses tender serta penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran adalah antara bentuk penyelewengan yang kerap berlaku.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, keadaan itu disebabkan oleh kelemahan sistem sedia ada yang mudah dimanipulasi selain ketiadaan pemantauan khusus serta budaya ‘tutup sebelah mata’ terhadap pelbagai bentuk penyelewengan.
Ini kerana dakwanya, terdapat persepsi dalam kalangan rakyat bahawa pelaksanaan undang-undang bersifat selektif dan hanya dikenakan terhadap pihak tertentu.
“Individu atau kumpulan diketahui mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkepentingan sering terlepas daripada tindakan atau tindakan yang diambil dilihat sengaja dilengahkan.
“Keadaan ini telah mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan masyarakat terhadap sistem keadilan,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Zainal Adanan berkata, dalam sesetengah sektor, amalan seperti memberi ‘duit kopi’ atau sogokan kecil telah dianggap perkara biasa.
Menurutnya, budaya itu secara tidak langsung menormalisasikan rasuah, menjadikannya semakin sukar dibasmi tanpa perubahan nilai dan sikap secara menyeluruh.
“Budaya ‘tidak mengapa’ dan ‘asal boleh jalan’ mewujudkan sikap toleransi terhadap salah laku rasuah.
“Individu yang terlibat dalam perbuatan rasuah tidak lagi berasa bersalah kerana wujudnya persekitaran sosial yang tidak menghukum atau mempersoalkan tindakan tersebut,” jelas Zainal Adnan.
Beliau berkata, dewasa ini rasuah bukan dilihat sekadar kesalahan individu tetapi suatu budaya sistemik dan hanya ditolak oleh segelintir masyarakat yang masih berpegang pada prinsip.
“Walaupun kerangka undang-undang sudah ada namun penguatkuasaan yang tidak konsisten, campur tangan politik dan persepsi ketidaktelusan menjadi punca utama kelemahan.
“Mengubah persepsi masyarakat terhadap rasuah bukanlah sesuatu yang mudah namun ia amat kritikal dan perlu dilaksanakan demi memperbaiki keadaan yang kian membimbangkan,” katanya lagi.
Justeru Zainal Adnan berpenapat, pendidikan nilai dan integriti perlu dimulakan sejak di bangku sekolah bukan hanya melalui subjek Pendidikan Moral atau Agama tetapi pembentukan budaya sekolah yang menekankan etika dan tanggungjawab
“Rasuah mesti digambarkan sebagai satu jenayah sejak awal lagi agar nilai tersebut tertanam kukuh dalam minda generasi muda.
“Kepimpinan perlu memainkan peranan kerana jika pemimpin negara menunjukkan teladan yang baik maka persepsi masyarakat terhadap amalan integriti turut berubah secara positif,” katanya.