SHAH ALAM – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) mencadangkan agar penubuhan institusi Ombudsman diteruskan tanpa sebarang kelewatan lagi.
KRPPM-IGAR menerusi satu kenyataan bersama berkata, ketiadaan institusi utama itu terus mendedahkan pemberi maklumat kepada risiko penguatkuasaan terpilih dan campur tangan politik.
Justeru, kumpulan tersebut mengulangi pendirian bahawa tanpa kewujudan Ombudsman yang bebas, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kekal lemah dari segi struktur.
“Jawatankuasa interim yang dicadangkan tidak boleh dijadikan penyelesaian kekal. Oleh itu, sebuah institusi Ombudsman mesti diperkenalkan bagi menggantikan fungsi jawatankuasa interim seperti yang telah dijanjikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
“Dalam tempoh interim, komposisi badan tersebut mestilah merangkumi wakil masyarakat sivil yang bebas, pakar undang-undang dan tadbir urus serta tidak hanya terdiri daripada orang dalam kerajaan. Pelantikan juga mesti dilakukan secara telus dan berdasarkan kriteria yang jelas,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Tan Sri Nazir Razak, Datuk Hussamuddin Yaacub (#RasuahBusters), Profesor Dr Edmund Terence Gomez, Shah Hakim Zain dan Maha Balakrishnan.
Turut menyokong kenyataan tersebut ialah Anas Zubedy, Nurhayati Nordin (Sekretariat #RasuahBusters), Cynthia Gabriel (C4), Pushpan Murugiah (C4), Badlishah Sham Baharin (IKRAM), Aira Azhari (IDEAS), dan Tharma Pillai (UNDI 18).
Menurut kumpulan itu, meskipun langkah pembentangan pindaan kepada akta tersebut adalah tepat pada masanya dan diperlukan, reformasi yang dicadangkan masih belum lengkap serta memerlukan penambahbaikan segera bagi memastikan perlindungan yang bermakna dan menjamin integriti institusi dalam jangka panjang.
KRPPM-IGAR turut menyokong usaha meminda Seksyen 6 bagi memastikan perlindungan di bawah akta berkenaan mengatasi undang-undang yang bercanggah, termasuk Akta Rahsia Rasmi dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
“Sehingga perkara ini dimaktubkan secara jelas, pemberi maklumat masih terdedah kepada risiko tindakan undang-undang, sekali gus menidakkan tujuan utama akta tersebut,” ujar kenyataan itu lagi.
Kumpulan terbabit turut mengalu-alukan cadangan memasukkan Seksyen 11(1A) yang menyatakan bahawa perlindungan kepada pemberi maklumat boleh dikekalkan oleh agensi penguatkuasaan tanpa mengira Seksyen 11(1)(a).
Menurut kenyataan itu, akta berkenaan memberikan kuasa budi bicara kepada agensi penguatkuasaan untuk mengekalkan perlindungan berdasarkan kes demi kes.
“Pindaan terhadap akta ini adalah hasil daripada bertahun-tahun penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. Proses reformasi mesti kekal terbuka, inklusif, serta dipandu oleh bukti dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya.
Selain itu, KRPPM-IGAR turut menegaskan bahawa proses penggubalan dasar tidak seharusnya kembali kepada amalan tertutup.
“Kami mengesahkan semula komitmen dwipartisan kami terhadap integriti dan kebertanggungjawaban awam. Reformasi sebenar memerlukan lebih daripada pelarasan teknikal, ia menuntut kejelasan undang-undang, jaminan struktur dan keberanian institusi,” tambah kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menyatakan kesediaan untuk menyokong kerajaan dalam membangunkan kerangka perlindungan pemberi maklumat yang kekal, berkesan dan berwibawa.