SHAH ALAM – Kerajaan dicadang supaya mengkaji strategi digunakan negara yang merekodkan kadar jenayah rasuah paling rendah di dunia untuk diterapkan di Malaysia.
Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, antara negara yang boleh contohi ialah Denmark, New Zealand, Finland, Sweden dan Singapura.
Menurutnya, kesemua negara terlibat itu secara konsisten menduduki tangga teratas dalam CPI yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di seluruh dunia.
“Secara umumnya pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan memperlihatkan kesungguhan usaha untuk membanteras rasuah. Namun, sehingga kini gejala itu masih menjadi masalah nasional yang mencemaskan.
“Jadi, sudah tiba masa untuk kerajaan melakukan kajian penilaian keberkesanan semua inisiatif itu untuk ditambah baik, terutama aspek pelaksanaannya. Salah satu usaha yang perlu dilakukan ialah dengan menerapkan strategi negara-negara yang rendah kadar jenayah rasuahnya di dunia,” katanya.
**media[3198060]**
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Khas #RuangBelia: Dari Tahu ke Tindak – Lawan Rasuah! yang berlangsung di Karangkraf di sini pada Jumaat.
Forum itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Presiden Majlis Belia (MBM), Izzat Afifi Abdul Hamid sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Awang yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berkata, negara berupaya menangani isu rasuah dengan baik sekiranya menggunakan strategi yang betul.
“Kalau kita lihat negara yang berada di tangga teratas dalam CPI yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di seluruh dunia itu bukan negara Islam.
“Sedangkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Jadi, di sini juga penting untuk nilai-nilai Islam diterapkan dengan lebih mendalam supaya masyarakat benci dan tolak rasuah,” katanya.
Sementara itu, Awang ketika ditemui menggesa semua persatuan belia di seluruh negara untuk menjadikan jihad memerangi rasuah sebagai agenda penting dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Katanya, usaha untuk memupuk kesedaran bahaya rasuah dalam kumpulan itu penting memandangkan mereka bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
“Semua persatuan belia yang ada di seluruh negara perlu bergerak lebih agresif untuk melaksanakan jihad rasuah supaya ia dapat ditangani daripada terus membarah,” ujarnya.
Beliau menambah, golongan belia juga digesa untuk lebih agresif dan lantang membuat kritikan terhadap pihak berkuasa sekiranya ada tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dilakukan.